SAMAN
Tindakan Saman diambil sekiranya peminjam tidak memberi respon selepas menerima Surat Amaran Saman. Peminjam yang mempunyai tunggakan terkumpul melebihi RM1000 akan dikenakan tindakan SAMAN dengan kos berjumlah RM350.
Seterusnya, senarai peminjam akan diserahkan kepada panel peguam untuk proses pemfailan dan serahan writ saman. Tarikh pengurusan kes (tarikh sebutan) akan diberikan oleh peguam yang mana tarikh ini akan dijadikan rangka masa untuk peminjam membuat penyelesaian mengikut kemampuan dan juga hasil perbincangan dengan wakil YPJ.
Kebiasaannya , peminjam akan diberi tempoh seminggu sebelum tarikh sebutan bagi menyelesaikan jumlah tunggakan. Pihak YPJ terbuka dengan apa-apa cara penyelesaian sekalipun asalkan peminjam memberi kerjasama yang baik dan. Antara jalan penyelesaian yang lazim menjadi pilihan peminjam adalah dengan membuat pengeluaran simpanan akaun 2 KWSP, penjadualan semula dan potongan gaji. Walaubagaimanapun, pihak peminjam atau penjamin perlu terlebih dahulu membuat bayaran tunggakan atau jumlah yang dipersetujui bagi membolehkan YPJ menghentikan tindakan penghakiman. Sekiranya tiada bayaran yang dilakukan, kes akan diteruskan kepada peringkat penghakiman ingkar yang mana kos sebanyak RM500 (maksimum) akan ditanggung oleh peminjam.
Kesannya, penghakiman ingkar ke atas peminjam dan penjamin-penjamin akan direkodkan di mahkamah di mana rekod ini tidak boleh ditarik balik walaupun peminjam sudah membuat bayaran habis di kemudian hari. Rekod penghakiman akan memberi kesulitan kepada pihak yang terlibat lebih-lebih lagi dalam urusan pinjaman dengan pihak bank.
Sekiranya peminjam berjaya menyelesaikan tunggakan, YPJ akan memberi peluang untuk mereka menstruktur semula jadual pembayaran dengan kadar yang dipersetujui mengikut baki pinjaman masing-masing. Aktiviti pembayaran peminjam yang sudah melalui tindakan saman akan diselia dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka tidak lagi culas dalam pembayaran. Hal ini kerana pihak YPJ akan terus mengambil tindakan CTOS sekiranya mereka ingkar dengan jadual yang ditetapkan atau tidak membayar langsung walaupun setelah menerima writ saman.