[gtranslate]

Soalan Lazim

Bantuan Pendidikan

1. Bagaimana cara untuk memohon pinjaman Yayasan Pelajaran Johor (YPJ)?

Pelajar yang telah ditawarkan tempat pengajian dimana-mana IPT, boleh membuat permohonan sepanjang tahun (mengikut tarikh BUKA dan tarikh TUTUP yang ditetapkan) dengan langkah berikut:-

LANGKAH 1: Isi permohonan secara online di www.ypj.gov.my/

LANGKAH 2: Mencetak slip permohonan

LANGKAH 3: Hantar slip permohonan & dokumen sokongan yang diperlukan

LANGKAH 4: Permohonan yang berjaya sahaja akan dimaklumkan melalui SMS (dalam tempoh 2 bulan dari tarikh tutup permohonan)

LANGKAH 5: Permohon yang berjaya akan menerima surat tawaran dan satu (1) set dokumen perjanjian yang akan dihantar ke emel pemohon

LANGKAH 6: Lengkapkan dokumen perjanjian dalam tempoh 3 minggu dari tarikh emel diterima

2. Apakah syarat-syarat permohonan pinjaman Yayasan Pelajaran Johor?

a) Lahir dan menetap di Johor

b) Mendapat tawaran kemasukan/sedang menuntut ke IPT sebelum memohon pembiayaan pendidikan

c) Kursus yang diikuti mestilah mendapat Sijil Perakuan Akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan belum tamat tempoh sah laku semasa permohonan dikemukakan.

d) Baki tempoh pengajian semasa membuat permohonan hendaklah tidak kurang dari satu (1) tahun;

e) Tiada penaja lain (Pinjaman/Biasiswa)

f) Kursus yang diikuti mestilah ‘sepenuh masa’

g) Pendapatan ibu DAN bapa tidak melebihi RM8,000 sebulan (tertakluk kepada dasar semasa & kelulusan)

h) PENTING : keutamaan akan diberikan kepada keluarga yang mempunyai jumlah pendapatan dengan per/kapita (jumlah pendapatan isi rumah/jumlah tanggungan) yang paling minima. Oleh itu, YPJ tidak terikat untuk meluluskan sebarang permohonan yang diterima walaupun permohonan tersebut memenuhi syarat-syarat dan kriteria yang telah ditetapkan

3. Apakah dokumen-dokumen yang mesti dilampirkan bersama borang permohonan?

a) Slip permohonan

b) Salinan kad pengenalan pemohon & ibubapa/penjaga

c) Salinan sijil kelahiran

d) Salinan surat tawaran ke IPT

e) Salinan sijil SPM & sijil berhenti Sekolah

f) Slip gaji/ pengesahan pendapatan ibu DAN bapa / penjaga.

g) Sekiranya ibubapa/penjaga tidak mempunyai slip gaji (bekerja sendiri) /tidak bekerja (suri rumah/pesara/pencen/ tiada punca pendapatan), adalah WAJIB untuk pemohon melengkapkan Borang Pengesahan Pendapatan

h) Salinan sijil kematian/penceraian (jika berkaitan)

4. Sekiranya seseorang pelajar mendapat tawaran dalam bentuk pinjaman, adakah mereka terikat dengan sebarang kontrak untuk bekerja dengan Kerajaan atau Kerajaan Persekutuan atau mana- mana Kerajaan Negeri dalam Malaysia atau Badan-Badan Berkanun?

Pemegang Pinjaman YPJ tidak dikenakan apa-apa kontrak untuk berkhidmat dengan Kerajaan atau Kerajaan Persekutuan atau mana-mana Kerajaan Negeri atau Badan-Badan Berkanun kecuali pelajar dikurniakan Biasiswa yang mana dalam tempoh enam (6) bulan dari tarikh pelajar tamat pengajian mereka tidak dibolehkan bekerja dengan mana-mana pihak Swasta kecuali mendapat kebenaran dari YPJ.

5. Adakah YPJ akan membiayai pelajar yang akan menuntut di universiti luar Negara?

YPJ hanya menaja pelajar-pelajar yang dapat melanjutkan pelajaran ke Indonesia, Mesir dan Jordan dalam jurusan Perubatan dan Pengajian Islam sahaja dan Permohonan tersebut adalah kelulusan YAB Menteri Besar Johor sahaja

6. Bagaimanakah wang pinjaman pendidikan dikeluarkan kepada pelajar?

Wang pinjaman pendidikan dibayar melalui beberapa cara sepertimana di bawah:-

  • bayar terus melalui Bendahari di institusi-institusi;
  • bayar melalui akaun bank pelajar masing-masing (Institusi-institusi tertentu) ;

Pembayaran pertama hanya akan dibayar selepas Surat Perjanjian pinjaman yang lengkap dikembalikan dalam tempoh tiga (3) minggu dari tarikh dikeluarkan manakala baki pinjaman dibayar dua kali setahun.

Penguatkuasaan

1. Bahagian apakah yang menguruskan hal-hal berkaitan tuntutan pertama peminjam, bayar balik pinjaman, rebat, penangguhan, KWSP dan perundangan?

Bahagian Penguatkuasaan.

2. Bilakah tuntutan pertama bermula? Berapakah jumlah ansuran yang dikenakan?

Tuntutan pertama akan dikeluarkan selepas 6 bulan pelajar tamat pengajian. Pelajar akan dimaklumkan oleh YPJ melalui surat rasmi bagi tuntutan ini. Jadual mula pembayaran dan jumlah bayaran bulanan terkandung didalam surat tersebut. Bagi tuntutan pertama ini,jadual ansuran bulan RM100 x 12 bulan pertama. Bagi tahun berikutnya, anggaran tersebut akan meningkat mengikut jumlah besar pinjaman anda.

3. Jika saya tidak menerima makluman tentang pembayaran pinjaman selepas tempoh 6 bulan tamat belajar,apakah tindakan yang perlu saya lakukan?

Anda perlu menghubungi pihak YPJ untuk membuat semakan terhadap status anda.

4. Adakah YPJ mengenakan interest ke atas bayaran balik pinjaman?

TIDAK, YPJ hanya mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 4% ke atas keseluruhan pinjaman sahaja.

5. Adakah saya layak untuk mendapat Rebat CGPA?

Ya, semua peminjam YPJ layak untuk memohon Rebat atau potongan pinjaman melalui CGPA. Tetapi,terdapat 2 kategori peminjam yang layak, antaranya :
i. Tahun 2010 – 2013 (Sebelum Kurniaan Tahun 2014);
ii. Tahun 2014 ke atas (Selepas Kurniaan Tahun 2014).

(a) Pinjaman Sebelum Kurniaan Tahun 2014
Untuk kursus diperingkat Profesional, Kedoktoran (PhD), Sarjana dan Ijazah, bayaran balik dan kadar pengurangan adalah seperti berikut :-

Bil Keputusan Rebat Diskaun Bayaran Balik
1. CGPA 3.75 – 4.00 90% / Mumtaz 100% Tiada
2. CGPA 3.50 – 3.74 85% 75% 25%
3. CGPA 3.25 – 3.49 80% /
Jaid Jiddan
50% 50%
4. CGPA 3.00 – 3.24 75% / Jaid 25% 75%
5. < 3.00 ≤ 74% / Maqbul Tiada 100%

*Semua bayaran balik akan dikenakan tambahan 4% bayaran perkhidmatan daripada keseluruhan jumlah pinjaman.

Untuk kelulusan diperingkat Diploma dan Sijil, bayaran balik dan kadar pengurangan adalah seperti berikut:-

Bil CGPA Diskaun Bayaran Balik
1. ≥ 3.75 50% 50%
2. 3.25 – 3.74 25% 75%
3. ≤ 3.24 Tiada 100%

*Semua bayaran balik akan dikenakan tambahan 4% bayaran perkhidmatan daripada keseluruhan jumlah pinjaman.

(b) Pinjaman Selepas Kurniaan Tahun 2014
i) Pemberian rebat atau pengurangan bayaran balik diberikan kepada peminjam-peminjam yang mengikuti program secara sepenuh masa (disepanjang tempoh pengajian) berdasarkan syarat-syarat berikut: dan

Bil Peringkat Pengajian Keputusan Layak Rebat Kadar Layak Rebat
1 Diploma & Ijazah

(Diploma & Ijazah Pertama Sahaja)

Kelas Pertama dan Setaraf
(CGPA 3.75 & keatas)
100%

(tidak termasuk 4% caj perkhidmatan)

2 Diploma (MARSAH) Mumtaz 100%

(tidak termasuk 4% caj perkhidmatan)

3 Ijazah Lanjutan / Sarjana Professional, Kursus Kedoktoran (PHD), Sijil Professional dari MAS Tiada Pemberian Rebat Tiada Pemberian Rebat

ii) Berjaya menamatkan pengajian dialam tempoh yang telah ditetapkan di dalam dokumen perjanjian YPJ; dan
iii) Pinjaman YPJ tidak bertindih dengan sebarang penajaan lain; dan
iv) Institusi pengajian adalah di dalam negara; dan
v) Transkrip mestilah dengan jelas menyatakan jumlah CGPA yang diperolehi dan disahkan oleh Institusi yang mengeluarkan transkrip tersebut; dan
vi) Permohonan rebat atau pengurangan mestilah dibuat dalam tempoh 2 tahun selepas tamat pengajian.

6. Berapa lama proses permohonan ini? Adakah saya akan dimaklumkan proses ini BERJAYA atau TIDAK?

Proses permohonan ini akan diproses 14 hari waktu bekerja dan permohonan yang BERJAYA atau TIDAK BERJAYA akan kami maklumkan melalui surat rasmi dari YPJ.

7. Apakah dokumen yang diperlukan bagi permohonan rebat ini?

Dokumen yang diperlukan bagi permohonan ini adalah surat rasmi permohonan dan transkrip penuh yang disahkan oleh ketua kampung atau pegawai kerajaan gred 41 ke atas beserta sijil makluman khas universiti kategori kelas yang berjaya dicapai oleh pemohon.

8. Berapakah bayaran bulanan yang saya perlu bayar?

Bayaran bulanan bergantung pada jadual yang ditetapkan oleh YPJ sendiri. Kebiasaannya jadual dijana bergantung pada baki pinjaman terkini. Tarikh mula membayar adalah pada setiap bulan bermula setiap 1 hb. Tiada masalah sekiranya membayar awal,pertengahan atau akhir bulan akan tetapi jangan masuk bulan baru. jika anda membayar pada 1hb bulan baru. Peminjam harus membayar sekali bulan lepas (double payment).

9. Sekiranya saya masih belajar, adakah saya layak untuk membuat penangguhan bayaran balik?

Ya, peminjam boleh membuat penangguhan bayaran balik.

10. Saya belum mendapat pekerjaan, adakah saya juga layak mambuat penangguhan bayaran balik?

Ya, peminjam boleh membuat penangguhan bayaran balik.

11. Apakah syarat-syarat permohonan penangguhan bayaran balik Yayasan Pelajaran Johor?

Terdapat dua syarat penangguhan bayaran balik iaitu;
o Peminjam masih menuntut dimana-mana IPT;
o Peminjam masih belum mendapat pekerjaan.

12. Bagaimanakah cara untuk memohon penangguhan bayaran balik Yayasan Pelajaran Johor (YPJ)?

Peminjam yang ingin membuat penangguhan bayaran balik boleh membuat permohonan dengan langkah berikut:-
o Bagi peminjam yang masih menuntut dimana-mana IPT, hendaklah menulis surat rayuan dan melampirkan surat pengesahan dari Universiti tempat pengajian yang tertera mod kursus (sepenuh masa), tempoh pengajian, tarikh mula dan tarikh tamat pengajian dengan jelas. Perlu diingatkan bahawa surat tawaran bukanlah surat pengesahan.
o Manakala bagi peminjam yang masih belum bekerja hendaklah menulis surat pengesahan/ pengisytiharan dan melampirkan surat akuan Sumpah di hadapan Pesuruhjaya Sumpah yang menyatakan tuan/puan masih belum bekerja.o Penangguhan tidak berkerja tertakluk kepada DUA (2) kali penangguhan sahaja.

13. Apakah dokumen yang mesti dilampirkan bersama surat permohonan?

o Bagi permohonan penangguhan kerana masih menuntut, peminjam hendaklah menyertakan surat pengesahan belajar dari Universiti tempat pengajian yang tertera mod kursus, tempoh pengajian, tarikh mula dan tarikh tamat pengajian dengan jelas. Perlu diingatkan bahawa surat tawaran bukanlah surat pengesahan.
o Bagi permohonan penangguhan kerana masih belum bekerja, hendaklah menulis surat pengesahan/ pengisytiharan dan melampirkan surat akuan Sumpah di hadapan Pesuruhjaya Sumpah yang menyatakan tuan/puan masih belum bekerja.

14. Sekiranya permohonan saya BERJAYA, adakah pihak YPJ akan memaklumkan kepada saya?

Jika permohonan penangguhan BERJAYA, surat makluman pemberitahuan akan dikeluarkan dengan menyatakan tempoh tamat penangguhan. Manakala makluman jadual pembayaran baru akan menyusul selepas tarikh tamat penangguhan.

15. Sekiranya permohonan saya TIDAK BERJAYA, adakah pihak YPJ akan memaklumkan kepada saya?

Ya, sekiranya permohonan TIDAK LENGKAP DAN TIDAK BERJAYA, surat makluman pemberitahuan juga akan dihantar kepada peminjam dan penjamin-penjamin.

16. Berapa lamakah tempoh pemprosesan permohonan saya?

o Jika peminjam menghantar permohonan dengan kadar segera, tempoh pemprosesan adalah 14 hari dari tarikh permohonan diterima.
o Jika permohonan penangguhan BERJAYA, surat makluman pemberitahuan juga akan dikeluarkan dengan menyatakan tempoh tamat penangguhan. Manakala makluman jadual pembayaran baru akan menyusul selepas tarikh tamat penangguhan.

17. Bolehkah saya membuat bayaran balik pinjaman menggunakan pengeluaran KWSP?

Boleh, jika menepati syarat-syarat pengeluaran KWSP.

18. Bolehkan ibu bapa membuat pengeluaran KWSP bagi tujuan bayaran pinjaman anak?

Boleh, jika ibu bapa ingin membuat pengeluaran untuk anak beliau jika menepati syarat-syarat KWSP.

19. Apakah syarat-syarat Pengeluaran KWSP?

Syarat-syarat yang ditetapkan oleh Pihak KWSP:-
o Pengajian Diploma, Ijazah  dan Ijazah Lanjutan sahaja.
o Tidak kira tahun kurniaan tajaan (tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh pihak KWSP).
o Tamat pengajian.
o Hanya pengeluaran Akaun 2 KWSP sahaja.
o Ibu bapa boleh membuat pengeluaran KWSP untuk peminjam.

20. Bagaimanakah cara membuat pengeluaran KWSP bagi tujuan pembayaran?

a) Pihak YPJ akan membuat semakan status permohonan sama ada layak atau pun tidak.
b) Jika status permohonan layak pihak YPJ akan mengeluarkan Penyata Baki Pinjaman Pendidikan Pelajar dan Surat Perjanjian yang disahkan oleh Pegawai YPJ.

21. Adakah peminjam perlu berurusan bagi membuat pengeluaran KWSP?

Ya, peminjam perlu menguruskan sendiri pengeluaran KWSP.

22. Berapa lamakan tempoh yang diberikan untuk saya membuat bayaran sekiranya saya telah menerima surat tunggakan dari Yayasan Pelajaran Johor (YPJ)?

o Tempoh yang diberikan adalah 30 hari dari tarikh surat tersebut dikeluarkan. Kecuali bagi Surat Amaran Terakhir, peminjam hanya diberikan tempoh 14 hari sahaja.
o Jika peminjam masih gagal membayar tunggakan sepertimana yang telah ditetapkan, tindakan undang-undang akan dikenakan dan caj-caj tambahan adalah dibawah tanggungan peminjam.

23. Kenapa saya dapat Surat Notis Tuntutan (NOD) daripada peguam dan bagaimana cara penyelesaiannya?

Peminjam tidak membuat pembayaran mengikut jadual yang ditetapkan sehingga tertunggak melebihi 3 bulan. Peminjam wajib membayar jumlah tunggakan dalam tempoh 14 hari selepas menerima Notis Tuntutan tersebut.

24. Apakah kesan sekiranya saya tidak membayar tunggakan selepas menerima Notis Tuntutan?

YPJ akan mengeluarkan Surat Ingkar NOD serta surat-surat amaran lain yang membolehkan peminjam dikenakan tindakan perundangan seterusnya iaitu Saman.

25. Siapakah yang akan terkesan dengan tindakan Saman?

Peminjam dan penjamin-penjamin.

26. Adakah cara untuk saya menghentikan tindakan Saman ke peringkat seterusnya?

Peminjam wajib membayar tunggakan atau separuh daripadanya mengikut budi bicara YPJ dalam tempoh masa yang akan ditetapkan (tertakluk kepada tarikh pengurusan kes yang dikeluarkan oleh Mahkamah). Sekiranya mengalami permasalahan, peminjam perlu dalam kadar segera menghubungi YPJ samada melalui telefon atau emel atau hadir ke pejabat YPJ untuk perbincangan lanjut.

27. Apakah kesan sekiranya saya tidak membuat pembayaran selepas menerima Saman?

Peminjam akan dikenakan tindakan Penghakiman Ingkar oleh Mahkamah. YPJ juga akan mengeluarkan Surat Ingkar Saman serta surat-surat amaran lain yang membolehkan peminjam dikenakan tindakan perundangan seterusnya iaitu tindakan CTOS.

28. Apa yang perlu saya lakukan sekiranya nama saya telah disenaraihitam (CTOS) oleh YPJ?

Peminjam wajib membuat bayaran penuh secara lump-sum sekiranya ingin membersihkan nama dari rekod CTOS. Caj CTOS sebanyak 3% daripada baki yang didaftarkan wajib dibayar oleh peminjam sendiri. Jika tidak berkemampuan, peminjam hendaklah membayar secara konsisten sehingga selesai dan nama peminjam akan dikeluarkan daripada sistem CTOS.

29. Kenapa saya mendapati jumlah baki pinjaman saya semakin tinggi selepas menerima tindakan perundangan?

Sepertimana yang termaktub di dalam Perjanjian Pinjaman, semua kos-kos perundangan adalah ditanggung oleh peminjam dan penjamin-penjamin.

30. Adakah saya akan dikenakan tindakan perundangan lain sekiranya masih ingkar untuk membuat pembayaran?

YPJ berhak mengenakan tindakan seperti bankrupsi, garnishee dan sita harta ke atas peminjam serta penjamin-penjamin.

31. Adakah peminjam telah dikenakan tindakan guaman (Notis Tuntutan, Saman, CTOS) boleh membuat bayaran ansuran bulanan yang telah ditetapkan sebelum ini walaupun mempunyai tunggakan?

TIDAK, peminjam perlu membuat bayaran pendahuluan separuh tunggakan atau dengan budi bicara pihak YPJ dan seterusnya membuat permohonan jadual semula.

32. Adakah peminjam boleh membuat permohonan jadual semula setelah dikenakan tindakan saman atau CTOS?

Boleh, peminjam perlu membuat pembayaran pendahuluan separuh tunggakan atau dengan budi bicara pihak YPJ.

33. Adakah peminjam yang dikenakan tindakan guaman perlu menanggung kos guaman?

YA, Peminjam perlu menanggung segala kos guaman yang telah ditetapkan.

34. Bagaimanakah peminjam boleh membuat semakan baki pinjaman?

Peminjam perlu menghubungi pihak YPJ untuk semakan baki pinjaman.

35. Adakah peminjam boleh mendapatkan pengurangan jumlah bayaran balik jika ingin membuat pembayaran penuh?

TIDAK, peminjam perlu membuat pembayaran sepertimana baki pinjaman yang ada.

36. Adakah peminjam akan mendapat surat pengesahan bayaran balik setelah membuat bayaran penuh?

YA, peminjam dan penjamin-penjamin akan mendapat surat pengesahan bayaran balik dalam masa Sembilan Puluh (90) hari dari tarikh pembayaran akhir.

37. Bagaimanakah jika terdapat lebihan bayaran?

Peminjam akan menerima surat makluman lebihan beserta borang lebihan. Borang lebihan perlu dikembalikan ke YPJ dalam tempoh sembilan puluh (90) waktu bekerja hari.

38. Bilakah pembayaran lebihan akan dipulangkan kepada peminjam?

Proses bayaran dibuat dalam tempoh empat belas (14) hari waktu bekerja selepas menerima borang lebihan daripada peminjam.

39. Adakah peminjam perlu memaklumkan alamat dan nombor telefon jika ada perubahan?

Peminjam WAJIB mengemaskini alamat dan nombor telefon terkini.

40. Jika talian telefon pejabat sukar dihubungi, apakah cara lain untuk berhubung dengan pihak YPJ bagi semakan bayaran balik pinjaman?

Peminjam boleh menghantar sebarang pertanyaan berkenaan bayaran balik ke emel kami bahagian bayaran balik pinjaman di alamat bayaranbalik@ypj.gov.my.

Audit Dalam

1. Apakah fungsi Audit Dalam?

Unit Audit Dalam bertanggungjawab dalam merancang dan melaksanakan audit di YPJ. Kami dapat membantu anda mengenalpasti samada wujudnya kawalan dalaman yang mencukupi ke atas proses pentadbiran dan sistem. Kami akan mengesyorkan langkah-langkah bagi memperbaiki kecekapan dan keberkesanan proses pentadbiran serta mencadangkan penambahbaikan dalam bidang yang berkaitan.

Kakitangan Unit Audit Dalam menjalankan auditan dengan cara melaksanakan kajian bebas dan objektif terhadap operasi dan prosedur sesebuah jabatan. Oleh itu Unit Audit Dalam adalah salah satu kawalan pengurusan dan matlamat kami adalah membantu melaksanakan tanggungjawab dengan cara analisis, penilaian, cadangan dan komen-komen yang bersangkut-paut dengan aktiviti yang kami kaji. Pencapaian matlamat ini melibatkan:

  • Menilai keberkesanan, kekukuhan dan kecukupan struktur kawalan dalaman. Kualiti dan pembaikan berterusan ditekankan dalam proses kawalan organisasi
  • Mengkaji kepatuhan terhadap polisi, perancangan, prosedur-prosedur, undang-undang dan peraturan-peraturan.
  • Mengesahkan kewujudan aset-aset dan menentukan ianya telah diakaunkan dengan betul serta dilindungi daripada sebarang jenis kerugian.
  • Menyemak kesahihan maklumat kewangan dan data operasi dengan menilai keseluruhan kawalan dan prosedur keselamatan Komputer dalam pemprosesan data.
  • Menjalankan pemeriksaan dan semakan khas yang diminta oleh pihak pengurusan termasuk menyiasat laporan penipuan, pecah amanah, kecurian dan pembaziran serta mencadangkan kawalan-kawalan untuk menghalang dan mengesan sebarang kejadian tersebut.
  • Menilai dari segi ekonomi dan kecekapan penggunaan sumber-sumber yang digunakan serta mencadangkan pembaikan dalam operasi.
  • Menentukan sejauh mana objektif dan sasaran yang ditetapkan untuk operasi atau program tercapai dengan cara yang efektif, efisyen dan ekonomikal dalam kekangan kos yang efektif dan sejajar dengan undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.

2. Autoriti

Kakitangan Unit Audit Dalam diberikan kuasa oleh Jawatankuasa Audit untuk menjalankan program auditan yang komprehensif. Unit Audit Dalam seterusnya diberi kuasa sepenuhnya tanpa sebarang halangan terhadap fungsi-fungsi, rekod-rekod, hartabenda dan personal dalam usaha menjalankan semakan secara menyeluruh dan berkesan.

Please wait...

Langgan Berita Terkini Kami

Masukkan email dan nama untuk menjadi yang pertama mendapat maklumat terkini kami.
Tukar Size Tulisan
Contrast